
Keadaan kenderaan yang dinaiki mangsa selepas terbabit kemalangan di KM 54, Jalan Skim Skrang, semalam.
KUCHING: Seorang remaja cedera parah setelah kenderaan dinaikinya terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 54, Jalan Skim Skrang, Sri Aman pada Sabtu.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 2.52 petang itu melibatkan mangsa berusia 19 tahun berasal dari Rumah Empading Bunu Skrang, Sri Aman.
Menurutnya, siasatan awal kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dinaiki mangsa bergerak dari arah Sri Aman menuju ke Betong hilang kawalan pemanduan.
"Kenderaan mangsa bagaimanapun terbabas ke bahagian kiri jalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian penghadang tangki dan tayar belakang lori yang bergerak dari arah Betong ke Jelukong," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Jelas Alexson, akibat pelanggaran itu mangsa cedera parah di kepala.
"Mangsa telah dihantar ke Hospital Betong dan maklumat dari Hospital Betong memaklumkan mangsa akan dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan susulan.
"Pemandu lori berusia 37 tidak mengalami sebarang kecederaan," tambahnya.
Ujar Alexson, kes akan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
utusanborneo.com.my/2022/02/13 |