
Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi.
MUKAH: Seorang pembonceng maut apabila motosikal yang dinaikinya hilang kawalan di Jalan Bukut, Balingian pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata mangsa dikenali sebagai Michale Duan @ Endih Kudit, 63, dan beralamat di Rh Unchau, Sungai Duam, Balingian.
Muhamad Rizal berkata, mangsa menaiki motosikal bersama seorang lelaki dan sedang bergerak menghala ke jalan utama Mukah/Selangau dari Rh Tangkun, Jalan Lubuk Bukut apabila kejadian sekitar 7.10 malam itu berlaku.
"Ketika tiba di hadapan simpang Balingian (Power Generation) motosikal yang dinaiki mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan dan melanggar tiang tanda amaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa yang cedera parah di bahagian kepala disahkan maut di tempat kejadian.
"Manakala rakannya yang berumur 52 tahun turut mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Klinik Kesihatan Selangau, seterusnya dirujuk ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan lanjut," ujar beliau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
utusanborneo.com.my/2022/02/14 |