
SRI AMAN: Menteri Muda Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat II Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis telah mengadakan lawatan ke tapak Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rh Apa Lubok Ju dan Rh Empol Sungai Tenggak C pada Ahad baru-baru ini.
Projek RTP di Rh Apa, Lubok Ju iaitu projek pembinaan parit di belakang rumah panjang dengan kos RM50,000.00 dibina oleh Syarikat Tanjung Bijat manakala di Rh Empol pula projek pembinaan parit di hujung rumah panjang bernilai RM50,000.00 dibina oleh Abadi Enterprise.
Agensi pelaksana bagi kedua-dua projek berkenaan adalah Jabatan Pengairan Bahagian Sri Aman (DID). Projek RTP tersebut adalah agihan daripada peruntukan tahun 2021 dan pelaksanaan projek sebelum ini mempunyai kekangan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Turut dilawati adalah projek RTP bina baru jambatan Sungai Klassen dan jalan konkrit di Rh Rangga Angkom, Sungai Tenggak B yang masih dalam proses pembinaan dan projek ini dibawah kawalselia agensi pelaksana JKR Bahagian Sri Aman manakala kontraktor yang dipilih adalah Bumi Makmur Enterprise.
“Projek RTP ini diteruskan bagi tahun semasa dan lima tahun akan datang oleh kerajaan Negeri Sarawak dengan harapan dapat merapatkan jurang pembangunan di kawasan pedalaman dengan kawasan bandar.
Kini sudah tiba masanya kita berhenti daripada bercakap soal politik dan sekarang kita akan teruskan pembangunan kawasan.” kata beliau semasa menjalankan lawatan ke tapak berkenaan.
Turut serta dalam lawatan tersebut isteri beliau Datin Simba Nalang, Cr Denneil Saweng dan Cr Andar Suntai.
sarawakvoice.com/2022/02/14 |