
Nurliyana semasa ditemui selepas menerima skrol ijazah suaminya daripada Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada majlis konvokesyen berkenaan.
KOTA SAMARAHAN: Suasana Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Ke-25 sayu bagi Nurliyana Amira Kasmily, 33, isteri kepada Allahyarham Muhammad Hisyamuddin Mustapha, 32, yang meninggal dunia sebelum menamatkan pengajian akibat COVID-19.
Nurliayana ketika ditemui media selepas majlis berkenaan berkata, Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan Korporat yang diterimanya itu bakal menjadi kenangan abadi untuk dirinya.
Dalam nada sebak, beliau menceritakan Allahyarham suaminya dijangkiti COVID-19 pada 12 Oktober tahun lalu dan melawan virus itu selama 16 hari sebelum disahkan meninggal dunia pada 28 Oktober.
"Dalam tempoh itu, dia menyambung pelajaran dan yang tinggal hanyalah tesis. Kebanyakan kerjanya juga dilakukan dari rumah secara dalam talian," tambahnya.
Nurliayana juga menyifatkan suaminya sebagai seorang lelaki yang berdedikasi dan seorang bapa penyayang yang suka berjenaka dengan anak lelaki mereka yang berusia enam tahun.
“Terima kasih kepada UNIMAS kerana bermurah hati menganugerahkan Anugerah Anumerta kepada arwah suami saya walaupun berbaki satu semester lagi untuk arwah menamatkan pengajian,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/02/14 |