
Chong (kanan) bercakap pada sidang media di DUN hari ini. Turut kelihatan ADUN Pending Violet Yong.
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Chong Cheing Jen berkata generasi ketiga bukan Bumiputera yang lahir di Sarawak termasuk Cina dan India harus dianggap sebagai Bumiputera.
Bercakap pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini, Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak berkata beliau akan mencadangkan perkara ini semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Tafsiran (Pindaan), 2020, esok.
RUU tersebut akan dibentangkan oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada Persidangan DUN esok.
“Cadangan pindaan saya adalah untuk generasi ketiga daripada kalangan kaum Cina, India atau kaum lain di Sarawak harus dianggap sebagai Bumiputera Sarawak selari dengan prinsip inklusiviti.
“Mereka yang telah mencapai generasi ketiga adalah sama seperti Bumiputera lain dan sebab itu mereka tidak sepatutnya didiskliminasi dan dibezakan dengan yang lain,” katanya.
Tambah Chong dalam cadangan pindaan RUU yang akan dibentangkan esok, terdapat senarai 31 kaum yang dicadangkan untuk dianggap sebagai Bumiputera Sarawak dalam Ordinan Tafsiran.
Mereka terdiri daripada Bagatan, Bakong, Bemali, Berawan, Bidayuh atau Land Dayak (termasuk Salako, Rara, Jagoi, Singai, Biatah dan Bukar-Sadong), Bisaya, Buket atau Ukit, Dali, Dusun, Iban atau Sea Dayak, Jatti Miriek, Kajang (termasuk Sekapan, Kejaman, Lahanan, Punan, Tanjong dan Kanowit), Kayan, Kedayan dan Kelabit.
Turut disenaraikan Kenyah (termasuk Badeng, Sebop dan Seping), Lakiput, Lisum, Logat, Melayu, Melanau, Murut atau Lun Bawang, Narom, Penan, Sa’ban, Sihan, Tabun, Tagal, Tatau, Tring dan Vaie.
Chong mencadangkan Fasal 2 RUU tersebut dipinda dengan memasukkan selepas perkataan ‘Vaie’ dalam garis baharu perkataan Cina, India atau kaum lain yang tidak disenarai dan individu daripada mana-mana kaum yang lahir di Sarawak dengan ibu bapa juga lahir di Sarawak.
utusanborneo.com.my/2022/02/14 |