
KUCHING: Penubuhan Stesen Penyelidikan Lapangan Lembaga Lada Malaysia di Semenggoh akan memperkasakan kajian dan penyelidikan tanaman lada.
Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin berkata stesen penyelidikan itu ditubuhkan untuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan perladangan bagi meningkatkan aktiviti ujian lapangan tanaman lada.
Selain itu katanya, ia juga untuk membangunkan plot-plot ujian ladang untuk menguji keberkesanan hasil kajian dan penyelidikan serta menyelenggara koleksi germplasma lada di Malaysia.
“Penubuhan stesen penyelidikan ini selari dengan hala tuju Lembaga Lada Malaysia dan industri lada untuk memperkasakan aktiviti kajian dan penyelidikan melalui kemudahan yang moden dan canggih.
“Ia juga akan menjadi pemangkin kepada aktiviti penyelidikan di lapangan yang membolehkan Lembaga Lada Malaysia menjalankan pelbagai jenis kajian dan penyelidikan berkaitan lada secara sistematik dan pengumpulan germplasma serta varieti bagi penghasilan lada baharu,” katanya pada sidang media sempena lawatannya di sini hari ini.
LAWATAN… Willie (kiri) diiringi Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Lada Malaysia Jenny George (dua kiri) dan kakitangan Lembaga Lada Malaysia melawat stesen penyelidikan lapangan lada di Semenggoh.
Willie berkata, stesen penyelidikan yang dibina dengan kos sebanyak RM2.83 juta itu telah siap sepenuhnya dan dijangka diserahkan kepada Lembaga Lada Malaysia Mac ini.
Menurutnya, stesen penyelidikan berkenaan mempunyai empat unit rumah hijau berkeluasan 168 meter persegi setiap unit.
Katanya, rumah hijau tersebut akan digunakan untuk kajian penyakit dan perosak, kultur tisu, pembiakbakaan dan agronomi lada.
Tambahnya, stesen penyelidikan itu juga mempunyai seunit bangsal tumbuhan berkeluasan 159 meter persegi yang digunakan untuk menyelenggara koleksi germplasma.
Selain itu katanya, kemudahan asas lain turut dibina seperti sistem perparitan, sistem saliran air dan kumbahan, jalan serta kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Dalam pada itu beliau berkata, dua plot ujian ladang iaitu plot koleksi germplasma lada serta plot ujian ladang untuk menguji keberkesanan hasil kajian dan penyelidikan turut dibangunkan.
“Plot-plot tersebut akan membantu aktiviti pemantauan dan mengurangkan ralat yang boleh menggangu kesahihan data saintifik sekaligus meningkatkan pendedahan hasil kajian dan penyelidikan dan inovasi lada kepada orang awam,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, stesen penyelidikan tersebut harus digunakan secara optima agar ia tidak menjadi projek gajah putih.
sarawakvoice.com/2022/02/14 |