

Kes COVID-19 di Sarawak terus meningkat, Kuching tertinggi
KUCHING: Sarawak terus merekodkan peningkatan kes positif baharu COVID-19 dengan 284 kes dilaporkan hari ini, menjadikan kes kumulatif di negeri ini meningkat kepada 254,717 kes.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan hari ini berkata, daripada jumlah itu, Kuching merekodkan kes harian tertinggi iaitu 92 kes, diikuti Miri (77), Sibu (58) dan Kapit (13).
Manakala daerah lain merekodkan kes harian di bawah 10 kes iaitu Bintulu (7), Kanowit (7), Samarahan (6), Serian (6), Limbang (5), Sarikei (3), Meradong (3), Sri Aman (2), Telang Usan (2) dan masing-masing satu kes di Mukah, Bau dan Saratok.
Mengulas lanjut mengenai kes harian JPBNS berkata, 150 kes terdiri daripada Kategori 1 (tiada gejala), 133 kes Kategori 2 (gejala ringan) dan satu kes Kategori 3 (jangkitan paru-paru).
Menurutnya, tiada kematian direkodkan hari ini dan hanya dua kluster dilaporkan aktif setakat ini.
Mengenai notis kompaun, polis Sarawak mengeluarkan sejumlah sembilan kompaun kesemuanya di daerah Kuching atas kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP).
Ini katanya, menjadikan jumlah kompaun dikeluarkan polis Sarawak setakat ini berjumlah 13,277.
Antara kesalahan dilakukan adalah kegagalan mendaftar masuk ke dalam premis melalui aplikasi MySejahtera (7) dan kegagalan memakai pelitup muka (2).
utusanborneo.com.my/2022/02/15 |