
KUCHING: Bahagian Sibu dan Sarikei yang telah diisytiharkan serentak sebagai Kawasan Kawalan Penyakit Demam Babi Afrika (ASF) masih berkuat kuasa dan belum ditarik balik.
Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu adalah dalam usaha mengawal penyakit itu dengan lebih berkesan lagi.
"Tiga Daerah iaitu Durin, Sibu Meradong dan Repok di Sarikei telah disahkan sebagai Kawasan Dijangkiti Penyakit ASF.
"Ia berikutan selepas sampel dari beberapa ladang babi di kawasan tersebut disahkan positif ASF melalui ujian makmal pada 14 Januari lalu," katanya.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) pula tambahnya akan terus memantau semua ladang babi, sama ada ladang komersial, ladang pekebun kecil atauujuga babi asli yang dipelihara di kampung dan rumah panjang.
Program pemantauan pihaknya termasuk pengawasan klinikal dan serologi untuk menentukan penyebaran ASF di kedua-dua bahagian itu.
Dr Rundi turut mengingatkan semua penternak babi untuk meningkatkan biosekuriti ladang mereka termasuk tidak menggalakkan lawatan ladang.
Selain itu, tidak dibenarkan masuk untuk kenderaan yang tidak dibersihkan dan dinyahjangkit dengan betul.
Pemberian 'swill' menggunakan sisa dapur harus dihentikan kerana produk makanan yang tercemar (termasuk daging babi) sering menjadi punca penyebaran ASF.
"Saya amat gembira kerana JPVS telah berjaya membendung penyakit ini dan saya ingin memohon kerjasama daripada semua pihak terutama pengeluar untuk meneruskan amalan penternakan yang baik.
"Serta mengukuhkan biosekuriti ladang, penjualan daging, peruncit serta pengangkut untuk diamalkan kebersihan dan sanitasi yang ketat.
"Hanya dengan bekerjasama dapat menghentikan penularan demam babi Afrika," ujarnya.
utusanborneo.com.my/2022/02/15 |