
MULAI NAIK: Paras banjir di SJK Hua Kwong semakin menaik namun sekolah berkenaan tidak beroperasi ekoran cuti peristiwa sempena Chap Goh Mei, hari ini.
MIRI: Paras banjir yang menunjukkan trend menaik antara tiga hingga empat kaki tidak menjejaskan sesi persekolahan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kelabit di sini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Law Poh Kiong berkata paras air di pekarangan sekolah ini terus menaik setakat jam 7 pagi.
"Bagaimanapun sesi persekolahan masih diteruskan seperti biasa meskipun paras air naik tiga kaki setengah hingga empat kaki serta keadaan cuaca hari ini cerah," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Law berkata sekolah berkenaan mempunyai 13 murid harian, dua murid prasekolah, enam guru dan dua Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).
Meskipun begitu, sekolah ini belum dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana keadaan masih terkawal.
Turut terjejas dengan banjir ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Hua Kwong, Marudi yang dinaiki air setinggi satu kaki setakat jam 8.50 pagi.
"Sekolah ini tidak beroperasi kerana cuti peristiwa sempena Chap Goh Mei. Sekolah ini mempunyai 97 murid harian, 25 murid prasekolah, 17 guru dan dua orang AKP," jelasnya.
utusanborneo.com.my/2022/02/15
|