
Antara dadah yang dirampas daripada suspek.
KUCHING: Seramai 31 individu, termasuk empat wanita diberkas apabila disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah dalam 'Ops Tapis' Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dari 3 hingga 13 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah ACP Ahsmon Bajah berkata kesemua suspek merupakan warga tempatan berusia lingkungan 17 hingga 53 tahun.
Menurutnya, suspek-suspek ditangkap di Kampung Tupong, Tabuan Dusun dan Taman Sri Sarawak.
"Daripada operasi ini, sebanyak kira-kira 646.59 gram dadah jenis syabu juga berjaya dirampas daripada suspek.
"Selain itu, seramai 10 orang suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu Seksyen 39B, satu kes; 39A(1), satu kes; 12(2), dua kes; dan 15(1)(a) sebanyak 26 kes.
"Sepanjang tempoh ini juga, pasukan operasi berjaya menangkap empat suspek di bawah Seksyen 39C ADB 1952.
"IPD Kuching mengalu-alukan maklumat orang awam berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah," ujarnya.
utusanborneo.com.my/2022/02/15 |