
BERSAMA KELUARGA: Wong (depan) bergambar bersama ahli keluarganya di kampung halaman beliau di Sibu pada sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini.
MIRI: Masyarakat Cina di sini memilih meraikan sambutan Cap Goh Mei secara bersederhana seperti sambutan Tahun Baharu Cina lalu di samping terus berwaspada dengan peningkatan kes varian Omicron COVID-19 di sini.
Bagi Allan Wong, sambutan Cap Goh Mei diraikan bersama keluarga terdekat sahaja dengan berkumpul makan bersama.
“Chap Goh Mei juga menandakan berakhirnya perayaan Tahun Baharu Cina dan tiada sambutan istimewa atau secara besar-besaran memandangkan kita masih dalam fasa berjaga-jaga.
“Kami hanya berkumpul dengan keluarga terdekat sahaja di rumah untuk makan bersama meraikan Chap Goh Mei,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
SEDERHANA: Tai (dua kiri) memilih untuk meraikan Cap Goh Mei secara sederhana bersama keluarganya.
Manakala bagi ibu kepada empat anak, Shirley Tai turut memilih meraikan sambutan tersebut secara sederhana bersama keluarga di rumahnya.
Katanya, tiada yang lebih penting selain memastikan keluarganya kekal selamat daripada penularan wabak COVID-19.
“Sebelum adanya COVID-19 melanda dunia, biasanya kami sekeluarga berkumpul bersama keluarga besar berjumpa dan makan malam bersama di restoran.
“Namun sekarang, memandangkan keadaan belum reda kami sekeluarga lebih suka mengadakan makan malam di rumah sahaja sebagai langkah berjaga-jaga terhadap COVID-19 dan demi keselamatan semua.
“Bukan sahaja Cap Goh Mei, malah Tahun Baharu Cina atau sambutan lain seperti hari jadi anak-anakpun diraikan secara sederhana di rumah sahaja,” jelasnya.
ANDY
Sementara itu, bagi Andy Jong pula, walaupun tidak dapat mengadakan upacara sembahyang secara beramai-ramai dan besar-besaran namun beliau bersyukur kerana dapat berkumpul bersama ahli-ahli keluarga.
“Kebiasaannya kami sekeluarga mengadakan upacara sembahyang beramai-ramai bagi meraikan Cap Goh Mei.
“Tetapi disebabkan pandemik COVID-19 amalan tradisi pada hari berkenaan tidak dapat dilaksanakan.
“Walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Namun, saya bersyukur kerana masih dapat berkumpul bersama keluarga untuk meraikannya dalam skala sederhana,” kata Presiden Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) itu.
Justeru, Andy berharap agar wabak COVID-19 dapat lenyap di dunia ini secepat mungkin agar rakyat dapat kembali menjalani kehidupan normal seperti sedia kala sebelum adanya COVID-19.
utusanborneo.com.my/2022/02/15 |