
SIBU: Polis Matu Daro percaya kes bunuh melibatkan dua wanita warga Indonesia yang dijumpai terapung secara berasingan di Sungai Samong, Daro bermotifkan masalah hutang.
Ketua Polis Daerah Matu Daro DSP Neil Beginda berkata, pihak polis kini sedang menyiasat kes daripada pelbagai sudut dan percaya punca utama dua wanita asing itu dibunuh angkara hutang.
"Pasukan penyiasat kes masih melakukan siasatan terperinci namun tiada perkembangan lain yang boleh didedahkan setakat ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, seorang wanita yang dipercayai rakan senegara kepada dua mangsa bunuh yang ditemui terselamat kini masih menjalani rawatan dan masih belum dapat ditemu bual kerana masih trauma.
Ketiga-tiga mereka berusia antara 41 hingga 47 tahun.
"Kita sudah memaklumkan Konsulat Indonesia di Kuching mengenai kes bunuh yang melibatkan dua wanita warganegara Indonesia," jelasnya.
Pada Sabtu lalu, seorang lelaki berbangsa Bajau berusia 31 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut telah berjaya ditahan.
Suspek kini direman sehingga 20 Februari bagi membantu siasatan lanjut kes.
Menurut kenyataan polis, mayat dua wanita terbabit yang ditemui di Sungai Samong pada 12 dan 14 Februari lalu dipercayai telah dipukul dan dibunuh di lokasi berasingan sebelum dicampak ke dalam sungai di tempat kejadian.
"Kita masih menunggu pihak hospital untuk menjalankan bedah siasat terhadap dua mayat wanita tersebut," ujar Neil.
Sementara itu, beliau juga memberi amaran tegas kepada orang ramai supaya memadamkan dan berhenti menyebarkan sebarang video atau gambar berkaitan dengan kes tersebut kerana mengganggu siasatan polis dan bagi menghormati perasaan keluarga mangsa.
Tambahnya, pihak Konsulat Indonesia di Kuching juga telah dimaklumkan mengenai kes tersebut.
utusanborneo.com.my/2022/02/16 |