KUCHING: Penggunaan jawatan Premier menggantikan Ketua Menteri boleh digunakan secara rasmi selepas ia diwartakan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) berkata, dari aspek perundangan, penggunaan jawatan itu sepatutnya menunggu pewartaan kerana ia telah dipersetujui dan dirumuskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu dewan penggubalan undang-undang tertinggi.
"Ia ada proses seterusnya yang mana perlu dibawa kepada Yang di-Pertua Negeri dan diwartakan, barulah boleh diguna pakai," ujarnya pada sidang media pada persidangan DUN di sini, hari ini.
Beliau berkata, satu tarikh akan ditetapkan oleh kerajaan apabila ia boleh diguna pakai kelak.
"Namun bagi saya, secara peribadi, memandangkan ia telah diluluskan, kita tidak boleh menghalang orang menggunakannnya termasuk dalam media sosial," ujarnya.
Ditanya adakah jawatan Timbalan Ketua Menteri turut digantikan sebagai Timbalan Premier, Abdul Karim berkata, "Ya, kalau kita lihat dari segi apa yang telah digubalkan, Timbalan Ketua Menteri akan menjadi Timbalan Premier. Sementara Menteri Muda akan menjadi Timbalan Menteri."
Mengulas mengenai proses pewartaan, beliau berkata, ia mungkin mengambil masa seminggu hingga tiga bulan mahupun enam bulan, bergantung kepada mereka yang bertangggungjawab dalam hal berkenaan.
Bagaimanapun, Abdul Karim berharap perkara itu dipercepatkan, kalau ia ditunggu sampai berbulan-bulan, akan menyebabkan spekulasi.
Berkenaan isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong yang menyamakan jawatan Premier dengan jenama kotak tisu Premier, Abdul Karim menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak baik.
"Kalau kita lihat secara mendalam kenapa kita buat undang undang ini adalah untuk meningkatkan status kita ke tahap yang lebih tinggi," tegasnya.
Katanya, rakyat harus gembira dengan segala usaha yang dilakukan, malangnya ada pembangkang yang cuba menjejaskan usaha yang dilakukan.
utusanborneo.com.my/2022/02/16 |