
MELECUR: Mangsa sedang menerima rawatan selepas melecur akibat disimbah air panas.
KOTA KINABALU: Seorang lelaki tergamak menyiram isterinya dengan air panas selepas gagal mengawal diri dalam pertengkaran di Kampung Pondo Pulau Gaya di sini kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata suspek juga kemudiannya didapati menikam diri sendiri dalam kejadian jam 11.30 malam itu.
“Hasil siasatan mendapati pertengkaran berlaku semasa mangsa yang juga isteri suspek berumur 40 tahun sedang menjerang air di bahagian dapur rumah.
“Semasa pertengkaran itu, suspek berumur 41 tahun gagal mengawal diri dan mengambil cerek air panas sebelum menyiram mangsa,” katanya.
Beliau berkata mangsa melecur di bahagian bahu dan tangan kiri disebabkan serangan itu manakala suspek terus mengambil pisau pemotong sayur dan menikam perut sendiri.
“Siasatan lanjut mendapati pasangan ini baharu mendirikan rumah tangga beberapa bulan lalu dan pertengkaran disebabkan masalah kewangan yang dihadapi.
“Suspek juga didakwa sering ditendang dan ditampar oleh mangsa apabila bertengkar mengenai masalah terbabit dan tindakan mangsa yang sering mengungkit perkara lalu menyebabkan suspek gagal mengawal emosi sebelum bertindak di luar kawalan,” katanya.
George berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan Seksyen 309 akta sama manakala mangsa serta suspek kini dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth.
utusanborneo.com.my/2022/02/16 |