
KUCHING: Sarawak harus menuntut haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk mempunyai wakil dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kata Adun Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman.
Menurut beliau berdasarkan perenggan ke-34 Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Sarawak dan Sabah mesti di dalam LHDN dan ia mandatori namun sehingga kini Sarawak tidak pernah diwakili dalam LHDN.
“Sudah tiba masanya untuk kita mempunyai wakil dalam LHDN agar kita tahu berapakah sebenarnya pendapatan negara dan barulah kita dapat mengolah formula untuk pembahagian pendapatan tersebut berdasarkan semangat pembentukan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2020 di sini, semalam.
Sementara mengulas mengenai RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2020 yang antara lain bertujuan menukar gelaran Ketua Menteri kepada ‘Perdana’, Fazzrudin berkata ia bagi memberi keadilan kepada Sarawak, yang selama ini diberikan taraf yang sama dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
“Adakah kita berlaku adil meletakkan Sarawak sama seperti Melaka dan Pulau Pinang?
“Sejajar pindaan perlembagaan maka harus ada perbezaan kita letakkan terhadap Ketua Negeri Melaka dan Pulau Pinang dengan Ketua Menteri Sarawak,” katanya.
Justeru, beliau berkata gelaran premier bukannya untuk individu tetapi untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya.
sarawakvoice.com/2022/02/16 |