View: 441|Reply: 0
|
[Kelantan]
Air pasang, ombak besar landa Pantai Seri Tujoh
[Copy link]
|
|
KEADAAN ombak di Pantai Seri Tujoh di sini yang agak bergelombang dan dijangka akan berlaku fenomena air pasang petang ini. FOTO Siti ROhana Idris
Tumpat: Ombak besar akibat hujan lebat serta air pasang dari Pantai Seri Tujoh di sini, menyebabkan limpahan air berlaku di sebuah taman rekreasi awam, Laman Tujoh semalam.
Kejadian bermula pada 4 petang sebelum ia disusuli dengan beberapa kali lagi limpahan akibat air pasang yang menyebabkan pekarangan taman rekreasi itu digenangi air pada paras 0.3 meter.
Seorang pemilik kedai makan, Mohd Rizal Fahmi Che Hamid, 28, berkata, kejadian limpahan ombak sudah kerap berlaku namun petang semalam ia disifatkan agak besar.
"Biasanya menjelang musim tengkujuh atau setiap kali berlaku fenomena air pasang, limpahan air dari pantai akan terjadi sehingga ke kawasan sekitar taman rekreasi ini.
"Dalam kejadian petang semalam ombak besar menghempas tebing dan melimpah ke darat hampir mencecah kedai makan saya yang terletak kira-kira 50 meter jaraknya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mohd Rizal Fahmi berkata, sejak dia membuka premis di situ kira-kira empat tahun lalu, kejadian sebegitu sudah kerap berlaku dan dia menjangkakan petang ini limpahan air akibat ombak besar akan kembali berlaku.
Tinjauan yang dilakukan di sekitar Laman Tujoh itu mendapati air masih lagi bergenang dan terdapat sampah sarap yang dibawa oleh ombak.
Kelihatan juga beberapa pengunjung yang datang membawa anak bermain permainan di taman rekreasi itu serta ada yang merakamkan gambar sebaik mengetahui kejadian yang tular sejak semalam.
Bagi penduduk Kampung Tujoh, Mohd Nazri Ismail, 40, dia mengetahui kejadian itu apabila menerima rakaman video dan gambar dari rakan sebelum segera ke lokasi untuk melihat keadaan sebenar.
Dia berkata, sebaik tiba pada 5 petang semalam, dia melihat pekarangan taman rekreasi awam itu sudah dinaiki air dan ombak di pantai pula sangat tinggi.
"Air yang bergenang ini mulai surut awal pagi tadi dan mungkin petang ini air pasang akan berlaku lagi kerana cuaca masih lagi hujan," katanya.
Sementara itu, Ketua Jajahan Tumpat Rusydee Abdullah berkata, taman rekreasi awam itu dalam proses siap sepenuhnya dan dijangka perasmiannya pada pertengahan Mac nanti.
Beliau berkata, pihak Majlis Daerah Tumpat akan menjalankan kerja pembersihan sampah yang ditinggalkan oleh limpahan air yang berlaku petang semalam.
"Kejadian yang sama mungkin berlaku lagi hari ini dan kerja pembersihan akan dijalankan sebaik cuaca kembali baik dan kami nasihatkan orang ramai agar tidak mengunjungi kawasan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|