KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara setahun empat bulan, dikenakan satu sebatan dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menipu syarikat pemberi pinjaman wang berlesen dan menggunakan dokumen palsu ketika meminjam wang tersebut.
Tertuduh, Amathurizzkhand Amran, 25, yang tidak diwakili peguam dan didakwa atas tiga pertuduhan, mengaku bersalah di hadapan dua Majistret berasingan iaitu Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali dan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa menipu pemilik syarikat pemberi pinjaman wang berlesen (pengadu) pada 15 Disember 2020, di premis syarikat tersebut yang terletak di Jalan Sekama, di sini sehingga pengadu mengalami kerugian berjumlah RM7,150.
Tertuduh juga didakwa atas dua pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 465 Kanun sama.

Amathurizzkhand mengaku bersalah menipu syarikat pemberi pinjaman wang berlesen dan menggunakan dokumen palsu.
Mengikut pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa menggunakan dua dokumen palsu iaitu slip gaji dan penyata akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan tujuan menipu pihak syarikat agar meluluskan pinjaman wang tersebut, juga dilakukannya pada hari dan tempat sama.
Mengikut keterangan kes, tertuduh membuat pinjaman wang di syarikat pengadu pada hari kejadian, berjumlah RM7,150.
Syarikat pengadu seterusnya membuat perjanjian untuk tertuduh membayar balik pinjaman wang secara ansuran dengan membayar RM468 sebulan bagi tempoh 24 bulan.
Pada 30 Disember 2020, tertuduh menambahkan pinjaman di syarikat pengadu sebanyak RM690 dan berjanji untuk membuat bayaran balik dalam masa sebulan.
Bagaimanapun, tertuduh gagal melunaskan hutang dan tidak dapat dihubungi.
Pengadu juga mendapati slip gaji dan penyata KWSP yang digunakan tertuduh semasa membuat pinjaman adalah palsu.
Ia susulan pengadu menghubungi syarikat tempat tertuduh bekerja yang kemudiannya memberitahu pengadu bahawa tertuduh tidak bekerja di situ.
Pengadu berasa dirinya ditipu dan bertindak membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
Akibat menipu pengadu, Majistret Syarifah menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun berkuat kuasa tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 7 Mac 2022, selain mengenakan satu sebatan terhadap tertuduh.
Sementara itu, bagi kesalahan menggunakan dua dokumen palsu, Majistret Zubaidah menetapkan tertuduh dijatuhi penjara dua bulan dan denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan dihadapinya.
Pendakwaan dilakukan secara berasingan oleh Pegawai Pendakwa, ASP Hisyam Junaidi dan Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.
utusanborneo.com.my/2022/03/09 |