
Keadaan kedua-dua kenderaan selepas terlibat kemalangan
KUCHING: Dua lelaki maut akibat kecederaan parah selepas terlibat kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Batu Kawa-Bau hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata kedua-dua mangsa dikenali sebagai Muhammad Saiffudin Muhi,29, dari Kampung Hulu, Serian dan Afandi Ni-Eng, 37, dari Kampung Sungai Tapang.
Menurutnya, semasa kejadian kedua-dua mangsa menaiki sebuah kereta dari arah Batu Kawa menghala ke Bau iaitu sekitar jam 9.48 pagi.
"Hasil siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa (Muhammad) dikatakan berhenti secara mengejut lalu dilanggar sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV ) dari arah belakang.
"Impak perlanggaran tersebut menyebabkan kereta dinaiki mereka terbabas ke laluan bertentangan lalu dilanggar sebuah van, mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.
"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa anggota paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS).
"Manakala pemandu MPV dan van hanya mengalami cedera ringan," katanya lagi.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk tindakan selanjutnya.
"Kesemua kenderaan terlibat ditahan dan sampel darah pemandu MPV serta van turut diambil untuk siasatan lanjut," katanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
utusanborneo.com.my/2022/03/10 |