MIRI: Sembilan kes kebakaran sejak 2021 di Sarawak berpunca dari kegiatan mencuri elektrik bagi berkaitan perlombongan mata wang kripto, dedah Sarawak Energy.
Walaupun tiada kematian dalam semua kejadian ini, pemilik bangunan dan jiran mengalami kerugian besar dan kerosakan harta benda.
“Sarawak Energy meningatkan pelanggan supaya tidaka mencuri elektrik kerana ia adalah perbuatan yang menyalahi undang-undang dan sangat berbahaya. Kecurian elektrik adalah kesalahan jenayah di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik yang membawa hukuman sehingga RM100,000 dan/atau penjara lima tahun jika sabit kesalahan,” kata Sarawak Energy menerusi satu kenyataan, hari ini.
Kes terbaharu di Miri, Sarawak Energy mengalami kerugian lebih RM13,000 sebulan akibat daripada penggunaan elektrik tidak berdaftar oleh sebuah premis yang didapati menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto di Permyjaya.
Pusat perlombongan mata wang kripto yang beroperasi di sebuah unit komersial dua tingkat itu didapati mencuri elektrik susulan daripada kejadian kebakaran yang berlaku baru-baru ini.
“Dalam siasatan susulan dan pemeriksaan, pasukan teknikal Sarawak Energy menemui 48 unit pelayan (server) perlombongan mata wang kripto yang terbakar dan terbukti bekalan elektrik disambungkan secara haram dengan kabel penoreh terus yang memintas meter elektrik.
“Siasatan awal menunjukkan kebakaran berpunca daripada sambungan pendawaian haram yang tidak selamat. Pelayan perlombongan mata wang kripto ialah mesin intensif tenaga yang beroperasi 24 jam setiap hari, selalunya memerlukan unit penyejuk untuk mengelakkannya daripada terlampau panas,” katanya.
Pelayan perlombongan mata wang kripto yang terbakar ditemui di sebuah premis di Miri, baru-baru ini.
Selain itu, Sarawak Energy menjelaskan fius tidak standard dan sambungan pendawaian haram yang biasa digunakan dalam kecurian kuasa dengan mudah boleh membebankan kapasiti sistem elektrik, meningkatkan risiko litar pintar, kerosakan perkakas, kebakaran dan juga kehilangan nyawa selain menganggu kestabilan bekalan elektrik di kawasan tersebut.
“Laporan polis telah dibuat berhubung perkara ini. Pemilik premis dan penyewa akan dipanggil untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi dan polis akan terus menjejaki individu yang mencuri kuasa elektrik untuk kepentingan diri sendiri sehingga sanggup mengorbankan keselamatan awam.
Sarawak Energy turut mengingatkan kepada semua pelanggannya agar tidak mempercayai penyedia perkhidmatan yang mendakwa boleh mengurangkan penggunaan elektrik atau membenarkan pemilik premis menikmati penggunaan elektrik tanpa had melalui gangguan meter.
“Pasukan pemeriksa meter dilatih untuk mengesan pelbagai kaedah kecurian elektrik, termasuk meter diusik, penutup meter elektrik palsu dan penorehan terus bawah tanah sebagai sebahagian daripada usaha Sarawak Energy untuk membendung kecurian kuasa.
“Tuan-tuan tanah juga dinasihatkan supaya berhati-hati dengan aktiviti penyewa mereka dan mendaftarkan akaun utiliti kuasa mereka di bawah nama penyewa untuk mengelak daripada terlibat dalam jenayah curi kuasa yang dilakukan di premis yang disewa,” gesanya.
utusanborneo.com.my/2022/03/11 |