|
Kambing pembaka jantan jamlo dipanggil Qari Jr lagi bermuka hodoh lagi bernilai tinggi. FOTO IHSAN SHUKRI SAAT
Marang: Kebiasaannya, semakin cantik semakin bernilai namun berlainan dengan kambing baka Jamlo kerana ia lebih bernilai tinggi sekiranya wajahnya semakin hodoh.
Kambing ini diternak Shukri Saat, 34, dari Kampung Durian Guling di sini.
Shukri berkata, dia menternak kambing berkenaan sejak lima tahu lalu.
"Kambing jantan pembaka Jamlo itu dipanggil Qari Jr dan ia berusia lebih dua tahun. Ada yang tawarkan harga RM10,000 untuk membelinya namun saya tidak mahu menjualnya.
"Terbaharu, Qari Jr memenangi tempat pertama Pertandingan Kambing Baka Terbuka Kelantan bagi kategori Kambing Jamlo menyebabkan ia semakin diminati.
"Ramai yang teringin membeli Qari Jr tetapi saya tidak akan menjualnya walaupun ditawar RM20,000," katanya.
Tambahnya, kambingnya itu semakin besar dan wajahnya akan menjadi lebih hodoh apabila berusia lima tahun.
"Semakin hodoh kambing ini, ia akan bernilai lebih tinggi. Pada masa sama, warna dan bentuk tubuhnya juga memainkan peranan penting.
"Ketika ini, permintaan terhadap kambing baka Jamlo semakin meningkat," katanya.
Menurutnya, dia sudah menghabiskan puluhan ribu ringgit untuk membeli pembaka dan induk terbaik ketika mula-mula menternak.
"Kambing Jamlo ini hasil kacukan kambing jamnapari dari India dan kambing anglo nubian dari Eropah," katanya.
Menurutnya, terbaru, dia menjual anak kambing baka itu yang berusia empat bulan pada harga RM5,000 seekor iaitu sama harga dengan seekor lembu kampung yang cukup umur dan sedia disembelih.
"Pada 2020, saya jual tiga kambing baka Jamlo pada harga RM14,500 dan ia rekod jualan tertinggi saya," katanya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|