
Billy (berdiri kanan) melihat proses saringan kesihatan dijalankan di Kampung Opar, Bau oleh petugas kesihatan.
KUCHING: Golongan wanita perlu didedahkan dengan bahaya penyakit kanser pangkal rahim pada usia seawal 35 tahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata kanser pangkal rahim tidak hanya berisiko kepada golongan wanita berumur 40 tahun ke atas.
Malah katanya wanita berusia 35 tahun juga berisiko menghidapi kanser pangkal rahim jika tidak menjaga kesihatan diri.
“Sebab itu saringan dan pemeriksaan awal kanser pangkal rahim perlu dilakukan oleh wanita selain pemeriksaan kesihatan biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Saringan dan Kempen Kesedaran Kanser Pangkal Rahim di Kampung Opar, Bau pada semalam.
Program tersebut merupakan anjuran bersama Biro Wanita Kampung Opar dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bau.
Mengulas mengenai program itu Billy berkata ia amat penting untuk memberi kesedaran kepada kaum wanita mengenai bahaya kanser pangkal rahim.
Justeru beliau berharap program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang terutama di kawasan luar bandar yang jauh dari fasiliti kesihatan.
Dalam pada itu selain saringan kesihatan dan pangkal rahim, turut diadakan ceramah kanser pangkal rahim, pameran pemakanan sihat dan pameran kawalan penyakit bawaan vektor.
utusanborneo.com.my/2022/03/13 |