|
PESAWAH menunjukkan hasil tanaman mereka yang rosak akibat banjir di luar jangka akhir Februari lalu di Kampung Bendang Pak Yong. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Tumpat: Hampir 100 pesawah di beberapa kampung di daerah ini menanggung kerugian disebabkan kemusnahan tanaman padi akibat banjir luar jangka yang melanda baru-baru ini.
Kemusnahan 500 hektar tanah padi itu membabitkan lebih 10 kampung yang dilanda banjir seterusnya menyebabkan banjir termenung selama seminggu untuk surut sepenuhnya.
Antara kawasan terbabit adalah Kampung Bendang Pak Yong, Simpangan, Naga Ibu, Pisau Raut, Derdap, Kajang Sebidang, Jejulok, Kubang Sawa, Kuala Jambu dan Teluk Jering.
Ketua Unit Peladang Bendang Pak Yong, Che Harun Omar, 60, berkata, semua padi yang musnah berusia sekitar 50 hari hingga dua bulan dan ketika banjir melanda, proses membaja serta meracun baru selesai.
"Melihatkan 'edah' musim tengkujuh beransur tamat, semua pesawah mula menanam padi pada awal Januari lalu tambahan pula penghujung tahun lepas, tidak banjir.
"Kami menabur benih seterusnya proses membaja serta meracun, malah ada juga memulakannya lebih awal apabila padi yang berbuah sangat elok dan hanya menunggu masa dituai.
"Bagaimanapun percaturan kami memakan diri apabila hujung bulan lalu, hujan berterusan melanda dan menyebabkan kami resah lebih-lebih lagi mengetahui daerah jiran iaitu Pasir Mas serta Rantau Panjang mula dinaiki air," katanya, semalam.
Che Harun berkata, limpahan air berlaku 28 Februari lalu menyebabkan air setinggi tiga meter memenuhi sawah, sekaligus menenggelamkan semua tanaman dan pesawah tidak mampu berbuat apa-apa.
Dia yang mengusahakan tanah padi seluas 40 hektar berkata, bukan sekadar menanggung kerugian mencecah RM30,000 tapi berdepan hutang benih padi sebanyak RM40,000 yang diambil daripada pihak berwajib.
"Kami buntu memulakan penanaman musim kedua yang dijangka pertengahan tahun ini kerana tiada modal malah hutang juga entah bagaimana boleh dilangsaikan," katanya.
Seorang lagi pesawah dari Kampung Simpangan, Mohd Faizul Mat Rifan, 37, berkata, dia memulakan penanaman pada penghujung Disember lalu dan berbaki dua bulan sahaja untuk menuai yang ditanam di tanah seluas 11 hektar.
Dia yang mengeluarkan modal lebih RM3,000 termasuk anak benih dan baja tambahan berkata, kejadian luar jangka itu semestinya memberikan tamparan buat mereka kerana hanya bergantung hidup kepada sumber tanaman padi.
"Beberapa hari lalu kami dimaklumkan supaya menghantar maklumat diri dan anggaran kerugian serta gambar sawah padi yang rosak kepada pihak berwajib yang menjanjikan ada bantuan bakal menyusul.
"Kami harap dibantu kerana banyak berhabis modal dan tiada ikhtiar lain memulakan penanaman musim selepas ini," katanya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|