|
KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM202.2 juta bagi membantu meringankan bebanan golongan terkesan susulan penularan pandemik COVID-19 tahun lalu.
Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, berkata jumlah pengagihan bagi membantu golongan terkesan disebabkan penularan COVID-19 tahun lalu meningkat RM31 juta atau 18 peratus jika dibandingkan pada 2020, iaitu sebanyak RM171.1 juta.
Katanya, jumlah keseluruhan agihan zakat bagi membantu golongan terkesan berikutan penularan pandemik COVID-19 meliputi agihan bantuan bulanan sebanyak RM86.6 juta, bantuan pendidikan (RM42.2 juta) dan Bantuan Khas COVID-19 sebanyak RM13.3 juta.
"Penularan pandemik COVID-19, memberi kesan bukan hanya kepada sektor ekonomi terutama kepada peniaga kecil di seluruh negeri, malah turut membabitkan seluruh rakyat.
"MAIDAM juga turut menyalurkan bantuan perubatan dan bantuan modal kepada peniaga yang terkesan. Menyedari ramai rakyat yang terkesan, MAIDAM menyelami denyut nadi rakyat dan menyalurkan peruntukan di bawah peruntukan Bantuan Khas Khas COVID-19," katanya kepada media selepas merasmikan pelancaran aplikasi sahabat MAIDAM, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Hakim Syarie, Wan Mohd Zaki Wan Mohd, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Rozali Salleh, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Zulkarnain Yasin dan Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Ahmad Fakharuddin Ahmad.
Mengulas mengenai aplikasi sahabat MAIDAM, Tengku Farok berkata, aplikasi itu antara usaha berterusan bertujuan menyantuni golongan asnaf.
Katanya, aplikasi itu diperkenalkan bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat dan aduan mengenai golongan asnaf yang memerlukan bantuan secara terus kepada MAIDAM.
Tengku Farok melancarkan aplikasi sahabat MAIDAM di Kuala Terengganu, hari ini. - NSTP/Baharom Bakar |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|