|
Timbalan Presiden Sahabat OKU Perak, Muhamad Firdaus Ibrahim (berkerusi roda) bersama sebahagian ahli persatuan yang mewakili 150 OKU di Perak membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Wan Nor Baizura, atau lebih dikenali sebagai ‘Kak Long Dungun’ yang didakwa menghina golongan itu di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh, baru-baru ini. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Polis negeri ini menyerahkan siasatan ke atas Wan Noor Baizura atau dikenali sebagai Kak Long Dungun kepada polis Selangor dan bantuan akan diberikan kepada pihak terbabit sekiranya diperlukan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar, berkata sehingga kini pihaknya masih belum dihubungi polis Selangor bagi mendapatkan bantuan.
Katanya, siasatan berhubung kes itu diserahkan kepada polis Selangor memandangkan pihak terbabit sudah membuka kertas siasatan sebaik menerima laporan daripada seorang individu yang tidak berpuas hati dan berasa terhina dengan tindakan wanita itu membuat mimik muka seolah-olah memperlekehkan orang kurang upaya (OKU) menerusi satu hantaran video yang tersebar di laman sosial.
"Selangor (polis) sudah melakukan siasatan kes itu, jadi biarlah Selangor (polis) yang siasat.
"Walaupun Terengganu juga menerima laporan berhubung kes itu, kita tidak mahu ada pertindihan dalam siasatan, biarlah Selangor yang meneruskan siasatan, kalau perlu bantuan, kita akan bantu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Hantaran video berdurasi 31 saat itu menyebabkan Wan Nor Baizura sekali lagi menerima kecaman hebat netizen selepas rakaman video perbuatan kecohnya di sebuah kedai serbaneka 24 jam tersebar di laman sosial sebelum itu.
Selain laporan individu berusia 42 tahun yang juga OKU fizikal dari Taman Puchong Utama, Puchong, Selangor, laporan sama turut dibuat Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Terengganu, pada Selasa lalu.
Menerusi laporan itu, POKUAT berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat akaun sosial media wanita berkenaan.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|