|

KOTA KINABALU: Seramai 80 penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima bantuan awal pengajian daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR), di sini semalam.
Kesemua mereka masing-masing menerima bantuan sebanyak RM1,000 untuk digunakan sebagai persediaan kemasukan sesi pengajian yang baharu sahaja bermula.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Dr Abdul Rahman Bakri berkata pihaknya memperuntukan sebanyak RM80,000 dalam misi bantuan kali ini.
“Semua penerima dipilih dalam kalangan keluarga yang berpendapatan rendah serta menerima tawaran kemasukan melanjutkan pengajian di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.
“Objektif bantuan ini adalah untuk membantu penuntut golongan B40 dan memberi peluang kepada mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di negara ini,” katanya.
Katanya, bantuan permulaan ini diharapkan dapat melahirkan pelajar yang komited, berkualiti, mampan, bercirikan keusahawanan, serta mampu berdaya saing di semua peringkat.
“Selain itu, ia juga dapat menjadi asas kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara untuk jangka masa panjang serta berharap agar penuntut memanfaatkan setiap peluang yang disediakan.
“Kami berharap melalui inisiatif seperti ini dapat meringan beban ibu bapa yang terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda di seluruh negara,” katanya.
Abdul Rahman berkata, diharapkan lebih ramai lagi agensi atau badan bukan kerajaan tampil memberikan bantuan seperti ini khususnya membantu masyarakat luar bandar.
“Program bantuan ini sedikit sebanyak mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa dan penuntut sebelum menerima mana-mana bantuan atau dana lain,” katanya.
Terdahulu, Replika cek bantuan tersebut diserahkan kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin dan disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datin Nurlaila Said.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Jefferey Nor Mohamed; Ketua Bahagian Operasi Menanggung Tugas Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Untuk rekod, seramai 3,277 pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.2 juta sejak tahun 2017, manakala RM1juta diperuntukan bagi tahun 2022.
oleh
Hamzah Sanudin
credit
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|