|

KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret semalam selepas mengaku bersalah mencuri sebuah topi keledar di kawasan pusat beli-belah di Jalan P. Ramlee di sini, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Shamirul Mohd Sarbini, 26, didakwa mencuri sebuah topi keledar milik seorang remaja lelaki berusia 17 tahun (pengadu) pada 16 Mac lalu, kira-kira jam 11 pagi.
Mengikut keterangan kes, semasa pengadu sampai di tempat letak motosikal di hadapan kawasan pusat beli-belah tersebut, pengadu mendapati topi keledar miliknya yang digantung di motosikal telah hilang dicuri.
Pengadu kemudian dimaklumkan oleh pengawal keselamatan bahawa topi keledar miliknya dicuri tertuduh dan tertuduh telah dibawa ke Balai Polis Sentral.
Hasil siasatan mendapati perbuatan tertuduh yang mencuri topi keledar menggunakan sebilah pisau pemotong telah disaksikan oleh dua orang awam dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut jelas merakam perbuatan tertuduh.
Anggaran kerugian adalah lebih kurang RM170.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sebelum dijatuhi hukum, tertuduh hanya memberikan rayuan ringkas dengan memohon agar dijatuhi hukuman denda selain memberitahu mahkamah yang dia menyesali perbuatan tersebut.
Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang seterusnya memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam dan berat kesalahan dilakukan.
Oleh itu, Majistret Zaiton Anuar menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara RM2,000 atau tujuh bulan penjara sekiranya gagal membayar.
Difahamkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dilaporkan gagal membayar denda tersebut setakat ini.
credit
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|