|
AHMAD Samsuri ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Perasmian Tahun Semarak Dakwah Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Kuala Terengganu: Kerajaan negeri akan menyiasat dakwaan penyerahan tanah milik kerajaan di Pulau Redang kepada jutawan, Tan Sri Vincent Tan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penjualan tanah milik kerajaan adalah satu isu yang besar dan siasatan terperinci akan dijalankan.
"Rekod itu boleh diperiksa, tanah itu daripada mana, diambil, dibeli dan sebagainya.
"Semua itu ada dalam rekod tetapi kita tak lihat lagi (dan) saya difahamkan telah dilapor pada polis.
"Jadi biar pihak polis menjalankan siasatan (dan) kita pun nak tahu juga keadaan sebenarnya, sebab jarang kerajaan jual tanah ini, kalau individu jual tanah memang berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Tahun Semarak Dakwah Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook (FB) sebelum ini, seorang individu mendakwa bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menggadai tanah milik kerajaan di Pulau Redang kepada Vincent.
Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal menafikan perkara berkenaan dan memaklumkan tidak pernah berjumpa dengan jutawan berkenaan sepanjang menjadi Menteri Besar.
|
|