|
PESURUHJAYA JHEAT, M Rozi Bidin. FOTO arkib NSTP
Kuala Terengganu: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sudah mengenal pasti lokasi tumpuan 'kaki ponteng puasa' sepanjang Ramadan ini.
Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, pegawai Penguat Kuasa Syariah sudah mengenal pasti beberapa lokasi 'kaki ponteng puasa' makan dan minum di siang hari seperti di kedai makan, tempat perkelahan, kawasan perindustrian dan tempat rekreasi.
"Dalam melaksanakan penguatkuasaan, pegawai dan anggota akan menggunakan pendekatan memberi nasihat jika melakukan kesalahan pertama dan dikenakan tindakan tegas jika didapati melakukan kesalahan kedua," katanya ketika dihubungi, hari ini.
M Rozi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) berkata, tindakan tegas juga akan dikenakan ke atas individu yang menjual makanan kepada mereka yang tidak berpuasa.
"Seramai 171 pegawai dan anggota termasuk 85 anggota sukarela akan melakukan rondaan di semua lokasi yang dikenal pasti," katanya.
M Rozi berkata, mereka yang makan dan minum termasuk merokok secara terbuka di tempat awam boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen A54, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir), (Terengganu) Pindaan 2015.
Katanya, tindakan yang sama juga boleh dikenakan ke atas orang yang menjual makanan, minuman dan rokok kepada umat Islam pada waktu berpuasa sepanjang Ramadan.
"Umat Islam yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali," katanya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|