Edited by Vellfire at 1-4-2022 11:30 AM

TERBABAS: Kenderaan dinaiki mangsa selepas terbabas melanggar batu besar yang berada di bahu jalan.
TUARAN: Seorang pemandu maut manakala isterinya cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas sendiri di kilometer 10.7 Kampung Minangkob Jalan Tamparuli-Ranau di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata semasa kejadian pasangan terbabit dalam perjalanan menaiki kenderaan jenis kompak dari arah Ranau menuju ke Tamparuli kira-kira jam 3 petang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kenderaan dipercayai gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas.
“Kenderaan mangsa kemudiannya terbabas dan melanggar batu besar yang berada di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Beliau berkata impak kejadian menyebabkan pemandu kenderaan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Penumpang kenderaan iaitu isteri mangsa yang berusia 28 tahun turut cedera dan kini dirawat di Hospital Tuaran.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Hamizi memohon saksi bebas yang melihat kejadian berkenaan untuk tampil bagi membantu siasatan.
utusanborneo.com.my/2022/04/01 |