
REMPUH: Keadaan kereta mangsa yang remuk teruk akibat dirempuh oleh lori.
SEMPORNA: Tiga termasuk seorang bayi perempuan berumur 10 bulan maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 12 Jalan Semporna-Tawau, di sini semalam.
Kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda, lori dan motokar yang dinaiki ketiga-tiga mangsa.
Bayi dan ibunya berumur 30 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi remaja lelaki berumur 13 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Semporna.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang.
Katanya, sebelum kejadian, kenderaan mangsa dan pacuan empat roda berkenaan dari arah Kampung Lihak menuju ke Kampung Salimbangun.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan mangsa yang dipandu perlahan tiba-tiba di langgar oleh pacuan empat roda berkenaan dari arah belakang.
“Akibatnya, kereta mangsa masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori yang datang dari arah depan,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Menurutnya, akibat rempuhan itu, bayi dan ibunya meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala remaja lelaki berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Semporna.
“Selain itu, pemandu yang juga suami mangsa berumur 30 tahun serta seorang wanita berumur 27 tahun dilaporkan parah dan dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan kecemasan.
“Pemandu pacuan empat roda dan lori berkenaan pula tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan tersebut,” katanya.
Farhan berkata, pemandu pacuan empat roda terbabit ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
utusanborneo.com.my/2022/04/02 |