|
Tumpat: 'Terlepas' menyeberang sempadan bukan bererti sudah memasuki negara ini kerana pihak berkuasa sentiasa memantau pergerakan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang diseludup oleh tekong.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, Pati berdepan banyak pemeriksaan sebelum berjaya tiba ke destinasi, antara rondaan cegah jenayah dan sekatan jalan raya (SJR).
Beliau berkata, pihak berkuasa mengetahui modus operandi digunakan tekong dalam menjalankan kegiatan penyeludupan migran.
"Kemasukan Pati ada hubung kait dengan permintaan tenaga kerja terutama di Lembah Klang dengan menjadikan Kelantan sebagai laluan selepas melepasi sempadan.
"Tekong yang mengambil upah membawa Pati ini sanggup menjadi pengkhianat negara kerana difahamkan menerima bayaran lumayan dan menggunakan apa sahaja cara untuk menyeludup migran.
"Bagaimanapun, kami mampu membaca setiap pergerakan mereka dan walaupun terlepas memasuki negara menerusi sempadan, mereka perlu berdepan dengan banyak 'lapisan' lagi di mana pihak berkuasa sentiasa melakukan pemeriksaan," katanya.
PENDUDUK kampung gotong-royong menaik taraf Tanah Perkuburan Kampung Jal Besar dengan kerjasama PDRM. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Shafien berkata demikian ketika diminta mengulas isu kemasukan Pati ke negara ini melalui Kelantan yang semakin aktif sejak kebelakangan ini, namun berjaya dipatahkan oleh pihak berkuasa.
Terdahulu, beliau menghadiri program gotong-royong menaik taraf Tanah Perkuburan Islam Kampung Jal Besar, di sini, bersama penduduk.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... asi-sempadan-negara |
|