|
SITI NUR SYAZWANI memotong rumput di rumah pelanggan. FOTO Syaherah Mustafa
Kota Bharu: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Begitulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan kegigihan seorang wanita yang mengambil upah memotong rumput demi mencari sesuap nasi, sejak lebih dua tahun lalu.
Walaupun kerja berkenaan biasa dilakukan golongan lelaki, namun Siti Nur Syazwani Mohd Azman, 22, atau boleh disapa sebagai Wani, tidak sesekali menjadikan itu sebagai alasan memandangkan dia mempunyai kemahiran menggunakan mesin rumput.
Dia yang juga menghidap sakit buah pinggang dan darah tinggi mengambil upah memotong rumput serta membersihkan halaman rumah di sekitar bandar Kota Bharu dan Pengkalan Chepa, di sini.
"Saya mahir mengendalikan mesin rumput kerana arwah bapa sebelum ini juga melakukan kerja yang sama. Saya sering mengikut dia bekerja sebelum bapa mula jatuh sakit dan meninggal dunia akibat kanser tiga tahun lalu.
"Selepas kematian bapa, saya mengambil keputusan meneruskan perkhidmatan yang diusahakan arwah selain turut mendapat restu suami, Mohammad Syaiful Nizam Husin, 24.
"Biasanya upah diberi bergantung kepada pelanggan sendiri sebanyak RM30 hingga RM150 mengikut juga kepada keluasan halaman," katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Masjid Baung Bayam, di sini, semalam.
Siti Nur Syazwani mengakui terpaksa menjaga pemakanan memandangkan kesihatanya tidak begitu baik, tetapi ia tidak menjadi penghalang untuk bekerja walaupun hanya memperoleh sekitar RM300 sehingga RM350 hasil memotong rumput.
Dia yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan, turut menjaga empat adik berusia tujuh sehingga 20 tahun selepas ibu, Siti Zaitun Sapeai, mengambil keputusan ke Johor untuk bekerja.
"Ada sahaja pelanggan yang terkejut kerana tidak menyangka seorang wanita yang menjalankan kerja ini, namun selepas melihat cara saya mengendalikan mesin mereka mula memberi kepercayaan.
"Sejujurnya, ada sahaja kecederaan atau luka ringan berlaku sepanjang bekerja akibat percikan batu atau benda tajam, tetapi saya sudah biasa dan tidak takut. Bagaimanapun, aspek keselamatan tetap saya utamakan.
"Sepanjang Ramadan ini saya tetap bekerja jika ada pelanggan yang mahu halaman rumah mereka dibersihkan kerana dengan cara ini sahajalah saya boleh meringankan beban suami yang hanya bekerja sebagai buruh," katanya.
Wanita cekal itu juga perlu berulang alik berjumpa pakar di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini, sebanyak dua kali sebulan bagi mendapatkan rawatan penyakitnya selain mengambil bekalan ubat.
Menurutnya, dia akan terus 'bermain' dengan mesin rumput memandangkan ia adalah kerja yang halal selain mengaku tidak malu kerana apa yang dilakukanya itu jarang diusahakan oleh golongan wanita.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... in-rumput-buat-wani |
|