Edited by Vellfire at 5-4-2022 09:19 PM


COVID-19 : 406 kes, tiga kematian
KUCHING: Kes harian COVID-19 di Sarawak hari ini menunjukkan sedikit peningkatan dengan 406 kes baharu direkodkan berbanding 328 kes pada Isnin.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan dengan penambahan 406 kes baharu itu, jumlah kumulatif kes COVID-19 di Sarawak ketika ini ialah 300,670.
Menurutnya, 122 merupakan kategori klinikal satu (tiada gejala), 280 kategori klinikal dua (gejala ringan), tiga lagi kategori klinikal tiga (jangkitan paru-paru) dan satu kategori klinikal lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator).
Kuching katanya, merekodkan jumlah kes baharu tertinggi hari ini iaitu 118, diikuti Bintulu (65), Miri (57), Sibu (39), Serian (12) serta Samarahan dan Sri Aman masing-masing dengan 14 kes.
Manakala lain-lain daerah masing-masing merekodkan kurang daripada 10 kes dengan tiada kes dilaporkan di Pakan, Belaga, Song, Sebauh, Tebedu, Julau, Matu dan Bukit Mabong.
Dalam kenyataan itu, JPBNS juga memaklumkan terdapat tiga lagi kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan di negeri ini dan satu daripadanya adalah pada 1 April lalu melibatkan lelaki berusia 89 tahun dari Kuching.
Jenazah mangsa di bawa ke Hospital Bau dan mangsa turut dilaporkan tidak mempunyai sejarah penyakit yang diketahui.
Selain itu, dua lagi kematian katanya, membabitkan dua wanita masing-masing berusia 66 tahun di Kuching.
Salah seorang mangsa dilaporkan mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis dan penyakit buah pinggang kronik sementara seorang lagi mangsa mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan kencing manis.
Dalam perkembangan sama JPBNS berkata tiada kluster baharu COVID-19 diisytiharkan di Sarawak, menjadikan jumlah kluster yang masih aktif di negeri ini sebanyak enam.
Mengenai notis kompaun, polis Sarawak mengeluarkan empat kompaun, kesemuanya di Kuching atas kegagalan mendaftar masuk ke dalam premis melalui aplikasi Mysejahtera.
Ini katanya, menjadikan jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan polis Sarawak setakat ini berjumlah 13,776.
utusanborneo.com.my/2022/04/05 |