KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu kluster baharu menjadikan 149 kes keseluruhan kelmarin dengan pertambahan 64 kes berbanding hari sebelumnya.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata penambahan jumlah kes secara mendadak kepada tiga angka itu berpunca daripada dua faktor utama.
“Faktor pertama disebabkan kluster baharu pendidikan yang diisytiharkan melibatkan pelajar asrama Sekolah Menengah Sains di Lahad Datu yang mana setakat ini melibatkan 39 pelajar.
“Kluster dikesan semasa salah seorang pelajar lelaki tingkatan empat menjalani saringan pada 18 April dan didapati positif COVID- 19 selepas bergejala.
“Hasil saringan terhadap kontak kes bagi individu bergejala kemudiannya mengesan 38 lagi kes baharu dan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 39 kes,” katanya.
Masidi berkata faktor kedua bagi peningkatan kes disebabkan jumlah daerah yang mencatatkan pertambahan kes baharu bertambah daripada lapan daerah kepada 17 daerah.
“Hanya enam daerah mencatatkan jumlah kes baharu lebih rendah daripada sebelumnya manakala empat daerah mencatatkan kes dua angka iaitu Lahad Datu 40 kes, Sandakan 18 kes, Kota Kinabalu 13 kes dan Penampang 10 kes.
“19 daerah lain mencatatkan kes satu angka dengan 14 daerah merekodkan kes baharu kurang daripada lima kes, manakala empat daerah lain iaitu Kota Marudu, Kunak, Nabawan dan Tongod tidak mencatatkan sebarang kes baharu,” katanya.
Katanya 141 orang daripada 149 pesakit baharu adalah dalam Kategori 2, empat orang dalam Kategori 3, dua orang dalam Kategori 4 dan seorang pesakit dalam Kategori 5.
utusanborneo.com.my/2022/04/23 |