
Bomba membantu menurunkan mangsa yang tersangkut pada pokok terbabit.
KUCHING: Seorang lelaki ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan tersangkut di atas pokok sebelum disahkan meninggal dunia dalam insiden yang berlaku di Kampung Engkelumai, Jalan Serian-Balai Ringin, Serian pada Sabtu.
Mangsa maut dikenali sebagai Abang Sudi berumur 35 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian bagi membantu menurunkan mangsa itu sekitar jam 3.19 petang.
Menurutnya, sebaik menerima laporan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian bersama satu jentera dikerahkan ke lokasi.
"Setiba di lokasi mendapati terdapat seorang mangsa tersangkut di atas pokok ketika menebang.
"Bomba seterusnya melakukan 'size up' berpandukan konsep RECEO dan mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri tersangkut pada pokok yang ditebang," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya, bomba terpaksa bertindak mendapatkan bantuan jengkaut milik orang kampung bagi mengalihkan batang kayu yang menghempap mangsa atas pokok terbabit sebelum mangsa berjaya diturunkan.
"Setelah berjaya menurunkan mangsa, mayat diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan selanjutnya.
"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," tambahnya lagi.
Setelah mendapati keadaan selamat dan selesai, operasi itu ditamatkan sekitar jam 5.30 petang.
Turut hadir membantu dilokasi ialah polis dan juga kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
utusanborneo.com.my/2022/04/24 |