|
ANTARA rokok seludup yang dirampas oleh PGA7 di Kampung Air Resom, di sini, kelmarin. FOTO IHSAN PGA7
Tanah Merah: Seorang wanita ditahan disyaki memiliki 18,000 batang rokok yang tidak bercukai bernilai RM26,730 dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah di Kampung Air Resom, di sini, jam 12.15 tengah malam, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi, berkata, anggota menyerbu kediaman suspek atas maklumat berkaitan penyeludupan dan menemui suspek berusia 31 tahun, di rumah berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati ia diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram sepanjang Sungai Golok sebelum transit ke rumah wanita berkenaan.
"Suspek mengaku rokok ini adalah bekalan untuk pasaran di sekitar Tanah Merah kerana mendapat permintaan tinggi bukan sahaja secara dalam kalangan peruncit malah membabitkan individu persendirian.
"Anggota menahan suspek serta merampas kesemua rokok dan sebuah telefon bimbit untuk dibawa ke Balai Polis Gual Ipoh bagi tujuan laporan dan kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Azhari berkata pihaknya turut menahan dua lelaki warga tempatan kerana disyaki mempunyai 60 pil epam dan lapan botol air ketum bernilai RM760 di kampung sama, jam 12.25 tengah malam, semalam.
"Suspek masing-masing berusia 33 dan 36 tahun mengakui dadah berkenaan dibawa seludup dari negara jiran untuk dijual kepada penagih di sekitar Tanah Merah.
"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Gual Ipoh bagi tindakan lanjut dan disiasatdibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan juga di bawah Seksyen (30) Akta Racun 1952," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... atang-rokok-seludup |
|