|
Jertih: Seorang lelaki dipercayai cuba menyeludup bunga api ditahan polis di Kampung Alor Keladi, di sini, 11.15 pagi hari ini selepas dikejar enam kereta peronda polis (MPV).
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kira-kira 9 pagi, anggota MPV daerah Pasir Mas mengesan van dipercayai melakukan aktiviti menyeludup mercun.
"Satu unit MPV dari Pasir Mas mengekori suspek yang melarikan diri ke Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah sebelum menghala ke Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan seterusnya ke Besut, Terengganu.
ABDUL Rozak (tiga, kiri) memeriksa mercun dan bunga api yang dirampas. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
"Satu unit MPV Tanah Merah, satu unit MPV dari Pasir Putih, satu unit MPV dari Machang serta dua unit MPV dari Besut mengejar suspek sehingga pemandunya berjaya ditahan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, Kampung Raja, di sini.
Turut hadir, Pegawai Turus Operasi Darat, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan, Deputi Superintendan Polis (DSP) Mohd Nasir Zakaria.
Katanya, suspek berusia 29 tahun itu beralamat dari Pasir Mas, Kelantan membawa muatan mercun serta bunga api diseludup dari negera jiran dipercayai untuk pasaran tempatan.
"Kita masih mengesan kelindan van yang melarikan diri serta melakukan siasatan lanjut terhadap pemilik van berkenaan.
"Antara barangan rampasan termasuk tujuh jenis mercun serta bunga api pelbagai saiz bernilai anggaran RM30,000 serta van bernilai RM90,000 dengan nilai keseluruhan rampasan RM120,000.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1987 kerana menyimpan dan menjual bahan letupan serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam," katanya.
Katanya, suspek juga turut melakukan kesalahan trafik melanggar sebuah kenderaan awam.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... kejar-polis-metrotv |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|