

COVID-19: 104 kes baharu di Sarawak hari ini
KUCHING: Jumlah Kes harian COVID-19 di Sarawak kekal tiga angka apabila 104 lagi kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kini meningkat kepada 305,083.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataannya memaklumkan 43 kes baharu hari ini adalah kategori satu (tiada gejala) dan 61 lagi kategori dua (gejala ringan).
Berdasarkan statistik dikeluarkan JPBNS juga menunjukkan tiada kes kategori tiga (jangkitan paru-paru), kategori empat (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) dan Kategori lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator) direkodkan tiga hari berturut-turut sejak 25 April lalu.
Sementara itu, 19 daerah merekodkan kes baharu COVID-19 hari ini iaitu Kuching (28), Bintulu (20), Sibu (13), Miri (8), Limbang (7), Samarahan (5), Sarikei (3), Sri Aman (3), Mukah (3),Julau (3), Serian (2), Subis (2), Matu (2), Lawas (1), Simunjan (1), Dalat (1), Pakan (1), Tatau (1) dan Tebedu (1).
Dalam kenyataan sama JPBNS memberitahu tiada kematian akibat jangkitan COVID-19 di Sarawak dilaporkan hari ini begitu juga kluster COVID-19 yang aktif.
Dalam perkembangan sama, JPBNS berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan lima notis kompaun di Kuching atas kesalahan tidak mendaftar masuk ke dalam premis menggunakan aplikasi MySejahtera.
utusanborneo.com.my/2022/04/27
|