Edited by Vellfire at 30-4-2022 02:11 PM
PETALING JAYA: Suasana sedih menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Petaling Jaya pagi semalam saat ketibaan van jenazah yang membawa jenazah mangsa bunuh yang dibuang ke dalam gaung di Jalan Lama Bukit Putus, Seremban bulan lalu.
Abang mangsa melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat berjumpa mangsa yang dikenali sebagai Meriammah Abdullah Basam, 29, selepas terputus hubungan sejak dua tahun lepas.
Lebih menyayat hati, dia hanya dapat melihat mayat arwah adiknya dalam keadaan yang tidak sempurna.
Hanya ingin dikenali sebagai Lan, abangnya berkata, dia jarang menghubungi adiknya ekoran masing-masing sibuk dengan kerja, selain masalah liputan Internet yang kurang memuaskan di tempat kerja arwah.
“Kali terakhir kami menghubungi antara satu sama lain pada Mac 2020. Adik saya kata liputan Internet di rumahnya kurang baik, jadi kami jarang berhubung selepas itu. Saya berasa sedih dan terkilan kerana tidak sangka akan jumpa dan mengebumikan arwah dalam keadaan begini kerana kami sangat rapat di antara adik-beradik yang lain,” katanya.
Lan berkata demikian kepada wartawan Utusan Borneo selepas upacara pengebumian mangsa yang dikendalikan Pusat Kesihatan Daerah Petaling di Tanah Perkuburan Bukit Tandang di sini, semalam.

Ahli keluarga mangsa ketika pengebumian di Tanah Perkuburan Bukit Tandang, Petaling Jaya pada Khamis.
Upacara tersebut turut dibantu Persatuan Transformasi Dayak (Trada) yang diwakili pembantu setiausahanya, Kathleen.
Bercerita lanjut, Lan berkata, arwah yang berasal dari Sibu kemungkinan besar telah berada di Semenanjung sejak Mac 2019 untuk mencari pekerjaan melalui tiket perjalanan kapal terbang yang ditemui dalam dompet Meriammah.
“Saya hanya mengetahui kematian mangsa melalui ibu yang telah dihubungi oleh pihak polis dan terus bergegas dari Shah Alam ke Seremban untuk membuat pengecaman mayat berdasarkan gambargambar yang disediakan pihak polis.
“Saya sangat yakin mayat itu adik saya berdasarkan fizikalnya dari bentuk mata, gigi, jari dan kuku arwah,” katanya yang berasa kesal dengan nasib yang menimpa adiknya.
Pada 25 Mac lalu, media melaporkan mayat wanita yang dijumpai di dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah dipercayai ditinggalkan di lokasi terbabit bagi menyorokkan kematiannya.
Mayat mangsa yang positif COVID-19 itu dijumpai dalam keadaan tertiarap dengan mangsa digambarkan mempunyai ketinggian 1.4 meter, bertubuh agak kecil, berseluar sukan dan baju-T berwarna hitam selain tidak memakai barang kemas dan berkuku pendek serta tidak diwarnakan.
Media melaporkan pada 7 April lalu, polis menjumpai rangka dipercayai seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di lokasi pencarian di Jalan Bukit Zamrud selepas operasi pencarian dilakukan sejak 28 Mei lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat Meriammah.
Susulan penemuan mayat Meriammah, dua lelaki masing-masing berusia 41 dan 44 tahun bersama seorang wanita berusia 18 tahun ditahan di dua lokasi di daerah tersebut.
Bernama melaporkan pada 13 April lepas, dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, bulan lalu.
Tertuduh, seorang peniaga Khalid Redza Shuib, 41, didakwa membunuh Meriammah pada tarikh antara 5 Mac 2022 dan 17 Mac 2022 di sebuah rumah di Taman Nee Yan, Seremban.
Khalid Redza dan anak perempuannya yang berusia 18 tahun turut dituduh secara bersama pada 3 Mac 2022, kira-kira jam 7 malam di rumah yang sama telah menyebabkan kematian Hanan Hasrul Izwan, 5.
utusanborneo.com.my/2022/04/29 |