KUCHING: Seorang penunggang motosikal terbunuh akibat kecederaan parah selepas terlibat kemalangan di Jalan Bintawa, di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Bingkok John berkata mangsa dikenali sebagai Amparang Paultan, 29 dan berasal dari Kampung Kerangan, Serian.
Menurutnya, semasa kejadian mangsa menunggang motosikal seorang diri dan telah berlanggar dengan sebuah kereta sekitar jam 7.30 pagi.
"Siasatan awal mendapati kereta yang bergerak menuju ke pusat bandar telah hilang kawalan semasa melalui selekoh lalu terbabas dan melanggar sebuah motosikal dari arah bertentangan.
"Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa anggota paramedik," katanya menerusi satu kenyataan.
Tambahnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.
Manakala pemandu kereta dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/05/04/penunggang-terbunuh-dalam-nahas-motosikal-kereta |