|
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/kilat_1652260529.jpg)
Keadaan banjir kilat di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas pagi tadi. - Foto ihsan MBPP
GEORGETOWN: Projek pembangunan di kawasan berhampiran disyaki menjadi punca kejadian banjir kilat di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, awal pagi tadi, yang dianggap tidak sepatutnya berlaku di jalan utama bahagian pulau.
Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Oh Tong Keong, berkata ia mungkin disebabkan sistem perparitan yang tidak sempurna menyebabkan kejadian itu berlaku hingga melumpuhkan trafik pengangkutan antara daerah barat daya dan pusat bandar negeri ini.
Katanya, ramai yang terperangkap dalam kesesakan trafik dan ia memberi impak kepada aktiviti kehidupan harian, termasuk pelajar lewat ke sekolah.
"Kejadian ini membangkitkan persoalan mengenai keberkesanan sistem perparitan di lebuh raya itu.
"Kita mengesyaki projek pembangunan di kawasan berhampiran menyebabkan banjir kilat itu berlaku," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Hujan lebat yang melanda Pulau Pinang sejak jam 5 pagi tadi menyebabkan beberapa laluan utama di negeri ini ditakungi air, selain berlaku kesesakan trafik.
MBPP dalam kenyataannya, memaklumkan sehingga jam 9 pagi, keadaan lalu lintas terkini di lebuh raya terbabit masih bergerak perlahan akibat air bertakung sehingga pertengahan jalan berhadapan projek pembinaan (bersebelahan Mutiara Height).
Susulan itu, Tong Keong menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meneliti punca berlaku banjir kilat itu bagi memastikan sama ada projek pembangunan di kawasan berhampiran menyebabkan sistem perparitan tidak dapat berfungsi dengan baik.
Beliau turut membidas MBPP gagal mengurus dan memastikan sistem perparitan yang baik di lebuh raya kerana banjir kilat juga pernah berlaku di Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus sebelum ini.
"Banjir kilat di lebuh raya bukan saja menyebabkan kesesakan trafik, tetapi juga menyebabkan risiko berlaku ya kemalangan, justeru MBPP harus memandang serius isu ini demi keselamatan rakyat.
"Kita juga menggesa Kerajaan Pulau Pinang mengutamakan keselamatan rakyat, mengambil tindakan sewajarnya ke atas MBPP atau Datuk Bandar jika agensi itu tidak menjalankan tanggungjawab dan tugas dengan baik," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... kilat-di-lebuh-raya |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|