|
Datuk Dr Kasemani Embong. - NSTP/GHAZALI KORI
KUALA BERANG: Ubat perangsang seks antara produk ubat-ubatan dan kosmetik tidak berdaftar dan tanpa notifikasi bernilai lebih RM1.1 juta yang dirampas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam tempoh dua tahun bermula 2020.
Pengarah JKNT, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata rampasan itu membabitkan keseluruhan 1,287 produk hasil 121 operasi yang dijalankan pihaknya.
"Produk-produk yang tidak berdaftar seperti ubat perangsang seks yang sering mendapat permintaan tinggi sangat memberi risiko terhadap kesihatan pengguna.
"Kebanyakan produk sebegini turut dicampur dengan racun berjadual seperti sildenafil yang boleh memberi risiko kehilangan penglihatan dan pendengaran, strok dan serangan jantung," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Gerak Gempur Cakna Ubat, di sini.
Dr Kasemani berkata, pihaknya akan terus memantau dan membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi, termasuk menerusi platform media sosial.
Katanya, langkah itu berikutan trend penjualan barangan berkenaan berleluasa ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
"Selain operasi di premis-premis, kita turut memantau media sosial yang mana kita mempunyai skuad penguatkuasaan khas yang sentiasa melakukan pemantauan di media sosial seperti Facebook. Orang ramai juga perlu peka dan menyemak produk yang dibeli adalah berdaftar dan bernotifikasi," katanya.
Beliau menegaskan, pemilikan dan penjualan produk tidak berdaftar dan komestik tidak bernotifikasi boleh disiasat dan dikenakan tindakan mengikut Akta Jualan Dadah 1952.
https://www.bharian.com.my/berit ... -berdaftar-dirampas |
|