|
MOHD Ghazali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan mendatangkan kecederaan ke atas isterinya dengan menikam menggunakan pisau, Jumaat lalu. FOTO Izz Laily Hussein
Johor Bahru: Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mencederakan isterinya dengan menikam wanita itu menggunakan pisau, Jumaat lalu.
Tertuduh, Mohd Ghazali Nor Hisham, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya, Aliza Hasan, 32, menggunakan pisau untuk menikam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah mereka dekat Taman Desa Rakyat, Pasir Gudang, kira-kira jam 10.30 pagi, 13 Mei lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan denda serta sebat atau mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairi Mohamed Said tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan jumlah ikat jamin RM20,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara mereka.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya mahkamah membenarkan dirinya dijamin.
Mahkamah kemudian membenarkan lelaki itu diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Seri Alam sebulan sekali selain menyerahkan pasport antarabangsa dan dilarang mengganggu mangsa atau mana-mana pendakwaan.
Kes kemudian ditetapkan untuk sebutan semula bagi lantikan peguam dan serahan dokumen pada 19 Jun nanti.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... engaku-tikam-isteri |
|