|
ABD. MANAF Mat (kanan) memukul bola golf sambil diperhatikan muridnya di SK Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
JERANTUT: Seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini, menanam minat murid di pedalaman terhadap sukan golf apabila mendidik mereka berjinak dengan permainan itu yang dianggap sukan mahal dan untuk golongan kaya sahaja.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, guru terbabit, Amiruddin Ahmad berkata, pada mulanya dia cuma berlatih bermain golf seorang diri di padang sekolah itu untuk mengisi masa lapang dan beriadah.
“Ketika saya mula bermain, beberapa murid yang tinggal berdekatan sekolah datang dan bertanya cara bermain serta ingin mencuba setelah kerap kali melihat saya berada di padang pada hari cuti dan waktu petang.
“Sebagai guru, saya tidak menghampakan mereka dan nampak di raut wajah masing-masing mempunyai minat dan bakat dalam sukan ini,” katanya di Kampung Bantal di sini semalam.
Menurut Amiruddin, bertolak daripada saat mengenali sukan itu, setiap kali dia turun bermain, murid yang sama berada di tepi padang memerhatinya menghayun kayu golf dan kemudian mencuba memukul bola.
“Saya menunjukkan teknik bermain serta memberikan mereka peluang mencuba ‘menghayun’ kayu golf dengan sejumlah bola dan kadang-kadang terpaksa dicari semula di kawasan hutan berdekatan dan perumahan apabila terbias ketika dipukul murid.
“Peluang mereka memukul bola lama-kelamaan berlaku perubahan kemahiran malah saya teruja kerana murid di pedalaman ini memiliki bakat yang boleh dicanai sebagai pemain golf dan mampu menyertai pertandingan luar,” katanya.
Amiruddin yang berasal daripada Pulau Pinang iberkata, tiga set peralatan dan dua kotak bola golf miliknya digunakan untuk melatih murid di sini yang kebanyakannya di Tahun 5 dan Tahun 6 pada setiap petang serta hujung minggu.
Dia berkata, minat murid di situ bermain golf terus mendapat perhatian serta galakan daripada Guru Besar SK Kampung Bantal, Abd. Manaf Mat.
“Memandangkan peralatan yang tidak mencukupi, saya dan guru besar merancang mencari dana bagi membeli set peralatan permianan ini untuk digunakan murid sekolah ini.
“Kita berharap ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan sukan termasuk individu yang dapat membantu mengembangkan bakat serta kemahiran murid dengan menyediakan kemudahan peralatan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Abd Manaf berkata, sekolah yang mempunyai 87 murid termasuk Orang Asli yang terpencil di pedalaman tidak mahu ketinggalan bukan sahaja dalam bidang akademik malah sukan dan olahraga menerusi aktiviti kokurikulum. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... lf-murid-pedalaman/ |
|