|
Nor Suriya Abdul Rahman, 38, menunjukkan paras air yang naik di rumahnya di Kampung Ismail, Ampangan, di sini, dalam kejadian banjir, petang semalam. Foto Ahmad Hasbi
Seremban: Wanita sedang pantang berdepan detik cemas apabila rumahnya di Kampung Ismail, Ampangan di sini, dinaiki air setinggi kira-kira 0.5 meter dalam banjir pada 7.30 malam tadi.
Bagaimanapun, Nor Suriya Abdul Rahman, 38, bersyukur apabila anaknya yang baru berusia sebulan itu dibawa keluar jirannya, seorang wanita warga emas ke tempat selamat.
"Ketika kejadian saya berada di rumah bersama lima anak yang berusia dua hingga sembilan tahun serta bayi terbabit. Air naik dengan laju dan saya mula panik.
"Ketika itu hujan lebat serta kilat, jadi saya tidak berani untuk keluar untuk menyelamatkan anak-anak. Apabila air naik setinggi paras lutut, jiran datang membantu membawa bayi.
"Selepas membawa bayi, jiran lelaki pula membawa anak saya yang lain sebelum air mulai naik sehingga ke paras pinggang," katanya ketika ditemui, hari ini.
Wanita warga emas, Rohaini Abdullah, 77, berkata, dia sudah serik untuk membeli perabot lagi apabila rumahnya dinaiki selepas kejadian pertama pada Disember tahun lalu.
"Sejak Disember lalu, ini kali ketiga rumah dilanda banjir dengan kejadian pada hujung tahun lalu itu adalah yang terburuk kerana rumah diselaputi lumpur tebal.
"Paras air dalam banjir ini lebih kurang sama dengan kejadian pada Disember lalu, kali ini saya sempat keluar lebih awal.
"Cuma banjir pada kali ini, lumpur berkurangan berbanding tahun lalu. Bagaimanapun, saya serik untuk membeli perabot lagi kerana sudah mengalami kerugian lebih RM10,000 sebelum ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihaknya mengerahkan Unit 7 Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk membantu penduduk membersihkan rumah di Kampung Ismail.
Dalam pada itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Mohd Syukri Madnor berkata, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka memandangkan air surut pada 10 malam.
"Banjir berlaku Kampung Pasir membabitkan 20 rumah, Kampung Semarak (70 rumah), Kampung Dato Mansor (25) dan Taman Happy (50) masing-masing di Rahang.
"Di Ampangan pula banjir berlaku Kampung Ismail (70 rumah), Blok B (40), Blok C (50), Taman Siew Joo (50) dan Kampung Dusun Nyior (80)," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... i-ke-tempat-selamat |
|