|
Projek tanaman jagung. FOTO ARKIB NSTP
Kota Bharu: Kerajaan negeri menyambut baik cadangan kerajaan pusat supaya menyediakan tanah untuk penanaman jagung bagi jangka masa panjang.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perbincangan terperinci perlu dilakukan bagi melaksanakan perkara itu.
"Cadangan Kerajaan Pusat kita ambil maklum, namun kita perlu berbincang dari segi kenal pasti lokasi, siapa yang akan usahakan tanaman berkenaan selain peruntukan dari mana.
"Jika silap langkah, projek tanaman tidak akan berjaya. Jadi beberapa perkara ini perlu dibincangkan dahulu," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kabinet meminta kerjasama kerajaan negeri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) untuk penanaman jagung bagi jangka masa panjang.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, keputusan itu berdasarkan pandangan Jemaah Menteri berkaitan penanaman jagung untuk menjadi alternatif kepada makanan ayam.
Katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diminta membentangkan pelan-pelan terbabit dalam masa terdekat bagi projek penanaman jagung dan sebagainya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... u-kajian-terperinci |
|