Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun diselamatkan dari tangki air oleh anggota polis selepas dia ditinggalkan ibu dan bapa tirinya dalam kejadian di Chalco, Mexico.
Insiden itu disedari apabila orang ramai terdengar tangisan meminta tolong dan selepas diperiksa, mereka mendapati ada seorang kanak-kanak di dalam tangki air berkenaan.
![](https://uf.cari.com.my/forumx/mforum/portal/202206/20/162121ca15rm0m8wswa1zm.jpg) Tangkap layar video menunjukkan anggota polis mengeluarkan kanak-kanak perempuan dari tangki air di Chalco, Mexico.
Lapor Daily Mail, polis kemudiannya dihubungi dan dikerah ke lokasi kejadian.
Video yang dirakam menunjukkan anggota polis tiba di lokasi kejadian dan memanjat tangki air berkenaan.
Tangki air itu kemudiannya diturunkan perlahan-lahan dan kanak-kanak tersebut berjaya dikeluarkan.
Sebaik sahaja diselamatkan, kanak-kanak itu terus menangis dan memaklumkan dia ditinggalkan oleh ibu dan bapa tirinya di dalam tangki air tersebut.
Keadaannya kini stabil dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam pada itu, ibu kanak-kanak tersebut, Maria Lucila dan suaminya, Javier ditahan serta didakwa melakukan keganasan domestik.
Kedua-duanya mengaku meninggalkan anak mereka di dalam tangki air tersebut kerana tidak boleh membawanya ke tempat kerja.
Sementara itu, kanak-kanak perempuan berkenaan diserahkan kepada jabatan kebajikan untuk penjagaan sementara.
Sumber: Utusan |