
Objek dipercayai serpihan roket Long March 5B seberat 27kg berjaya dikeluarkan petang tadi.
MIRI: Objek dipercayai serpihan roket Long March 5B milik negara China yang dijumpai terbenam di kawasan Pekan Lama Sepupok, Niah pada 31 Julai lalu berjaya diangkat keluar petang tadi.
Objek seberat 27 kilogram (kg) itu berjaya dikeluarkan sekitar jam 2.39 petang dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah.
Menurut Pemangku Penguasa JBPM Zon Miri Ahmad Nizam Sapaie, pihaknya menerima panggilan khidmat khas daripada pihak polis sekitar jam 1.53 tengah hari.
Sejurus itu katanya, sepasukan anggota dari BBP Batu Niah yang terdiri daripada lapan orang dengan diketuai Ketua Balai Rary Binjie selaku komander operasi telah bergerak ke lokasi yang terletak pada jarak 11 kilometer dari balai.
"Setibanya di lokasi, pasukan operasi terus membantu mengeluarkan objek dipercayai serpihan roket Long March 5B menggunakan cangkul dan penyodok.
"Pasukan operasi mengambil masa selama 24 minit untuk mengeluarkan objek itu yang seberat 27kg dengan ukur lilit 120 sentimeter (sm) pada bahagian atas dan ukur lilit bawah 80sm, ketinggian 1 kaki 4 inci dan kedalaman lubang adalah dua kaki," katanya.
Menurut Ahmad Niezam, sebaik dikeluarkan objek itu terus diserahkan kepada pihak polis.
Turut menyaksikan operasi itu ialah Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dan tiga pegawai dari Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
utusanborneo.com.my/2022/08/02 |