Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, negeri yang mempunyai pemimpin bersifat sedemikian akan memberi kesan buruk kepada rakyat.
"Alhamdulillah negeri Sarawak tidak mempunyai 'anai-anai' dalam membangunkan negeri ini," ujarnya pada Majlis Perasmian Surau Darul Ehsan Tun Abang Haji Openg Kampung Bunga Raya di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang.
Abang Johari (dua kanan) memukul gong sebagai simbolik perasmian Surau Darul Ehsan Tun Abang Haji Openg Kampung Bunga Raya di Limbang hari ini. Turut kelihatan (dari dua kiri) Dr Abdul Rahman, Hasbi dan Abdul Karim (kanan) serta kenamaan lain.
Abang Johari berkata, pemimpin yang ada perlu dilatih supaya mereka berkualiti tinggi dan menjalankan amanah mentadbir negeri ini dengan sehabis baik.
"Selepas saya mengambil alih kepimpinan daripada Tok Nan dan mendapat keyakinan daripada rakyat berbilang kaum dan agama, ini menjadi obor (semangat) kepada saya dan rakan-rakan untuk bekerja keras membangunkan Sarawak.
"Kita mempunyai kestabilan politik yang baik dan kita berdoa agar Kuala Lumpur mempunyai politik yang stabil, jangan ada Perdana Menteri baharu dalam tempoh tiga tahun, ini berbahaya, tetapi Sarawak mempunyai kepimpinan dan rakyat memberi kepercayaan kepada 'anak Limbang' ini untuk mentadbir Sarawak," katanya lagi.
Menurut Abang Johari, walaupun baru mentadbir Sarawak dalam tempoh lima tahun, tetapi beliau mempunyai perancangan untuk membangunkan bahagian Limbang di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dengan peruntukan RM1.5 bilion, termasuk infrastruktur jalan raya sehingga ke Lawas.
Katanya, beberapa projek termasuk Jambatan Sungai Limbang dan Tebingan Sungai Limbang yang bakal menjadi terpanjang di Sarawak mengalami kelewatan susulan pandemik COVID-19, namun dijangka siap tidak lama lagi.
"Jika siap jambatan, ada pelan utama untuk Limbang bagi pembangunan di kawasan seberang sungai.
"Ini pelan utama jangka panjang dan dengan adanya jalan yang akan dibangunkan di bawah NRDA, sudah tentu Limbang dan Lawas akan disambungkan dengan jalan yang baik, termasuk ke Gunung Buda," jelasnya.
Abang Johari turut mengimbas kenangan ketika dilahirkan di Limbang sewaktu mengikut ayahnya sebagai pegawai daerah ketika berkhidmat sehingga 1951.
"Umur lapan bulan saya balik ke Kuching, saya masih ingat bidan yang bernama mak Mariam menyambut kelahiran saya di dunia, terima kasih keluarga mak Mariam," katanya.
Menyentuh mengenai perpaduan, Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama, hidup dalam keadaan aman dan saling menghormati antara satu sama lain.
"Dalam Islam, kita perlu adil dengan semua rakyat di bawah pemerintahan dan jagaan kita. Dalam sejarah Islam ada Piagam Madinah, Rasulullah SAW mewujudkan satu cara memerintah dan menjaga rakyat berbilang kaum," ujarnya.
Katanya lagi, berpandukan Piagam Madinah, Sarawak tidak mempunyai masalah dari sudut mentadbir dan membangunkan rakyat berbilang kaum dan agama sehingga ke hari ini.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/08/03/pemimpin-bersifat-anai-anai-tiada-tempat-di-sarawak