|
DATUK Muhamad Zaki Harun. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Kota Bharu: Seorang lelaki menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, kelmarin, susulan memuat naik status di Facebook (FB) yang menghina anggota polis sedang bertugas.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek memuat naik status menuduh anggota polis 'mengutip' duit di depan sebuah pasar raya.
Katanya, suspek berusia 40 tahun berasal dari Kuala Krai ditahan reman selama sehari untuk siasatan lanjut sebelum diberi jaminan polis.
"Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif dadah.
"Orang ramai diharap tidak menulis status di laman sosial sesuka hati sehingga boleh mendatangkan persepsi negatif terutama membabitkan penugasan penjawat awam tidak kira anggota polis mahupun agensi lain.
"Bagaimanapun, jika berlaku salah laku dalam kalangan anggota dan pegawai polis, siasatan dan tindakan tata tertib akan diambil.
"Orang ramai disediakan saluran yang betul untuk membuat aduan jika berlaku salah laku dalam kalangan anggota atau boleh terus ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Muhamad Zaki berkata, kes berkenaan diharap dapat dijadikan pengajaran supaya tidak sesekali memuat naik status yang memberi persepsi negatif tanpa usul periksa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan Seksyen 499 Kanun Keseksaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ri-lepas-hina-polis |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|